Di awal-awal perkahwinan, suami melalui kesulitan untuk mencari dan menampung kos perkahwinan yang semakin hari semakin meninggi. Suami berusaha menikahi kita sewaktu ada insan-insan sekeliling yang menghalang atau melambatkan kita menempuh alam pernikahan. Ahli keluarga yang bermacam kerenah, kawan-kawan yang tidak membantu, orang-orang yang sepatutnya mempercepatkan prosedur bernikah semuanya memberi cabaran.
Suami melalui saat-saat tertekan untuk dia hidup bersama kita. Kerana cabaran kewangan, kerana tuntutan kerja yang menyebabkan terpaksa bertangguh bernikah, bersabar menunggu kita menghabiskan pengajian. Suami pening kepala mencari pemiutang yang boleh memberi pinjaman kewangan. Suami mengikat perut mengumpul duit untuk mendampingi kita sebagai isteri.
Dan akhirnya kita bernikah. Bukan mudah untuk suami mencari rumah – menyewa atau membeli - yang sesuai dengan keselesaan kita, dalam masa yang sama, mencukupi juga untuk kewangannya. Suami membeli kereta semampunya memikirkan tidak mahu anak dan isteri berhujan berpanas menaiki motor atau kenderaan awam.
Dari cinta kasih seorang suami, ALLAH memberi zuriat yang comel penyejuk hati. Suami makin sulit memikirkan dan merancang sumber pendapatan bagaimana untuk dia memberi keselesaan hidup pada isteri dan anak-anak.
Inilah cinta kasih seorang suami yang tak ternilai namun sering tidak difahami malah mungkin tidak disedari para isteri.
Isteri mudah saja terlupa segala kebaikan ini hanya kerana suami tidak memanjakannya seperti yang dilihat dalam filem-filem cinta – begitu asyik si hero membelai si heroin. Kerana suami terlupa bunga, coklat atau hadiah lainnya pada waktu istimewa, isteri merasa sayang suami sudah pudar.
Isteri bermuram wajah bila para suami di zaman ini yang ditekan lagi tertekan dengan persaingan menambah rezeki - terlupa memberi ‘good nite kiss’, terlupa isteri mengharapan usapan dan sentuhan manja, terus tertidur tanpa menjaga emosi isteri yang merindukan sentuhan mesra.
Duhai isteri yang dirahmati ALLAH, ayuh kita cari dan pandang serta berterima kasihlah atas sekecil-kecil kebaikan suami apatah lagi untuk pemberian yang besar-besar.
“Saya tak mampu menghargai suami saya, kerana terlalu banyak perkara yang menyakitkan…” mungkin itu luahan sebahagian kita.
Tapi bukankah kita juga ada BANYAK kesilapan & kekurangan – kesilapan kecil yang adakalanya merimaskan suami, malah kesalahan besar yang juga mendatangkan serabut di jiwa suami…?
Ayuh kekurangan kita dan suami bersama kita perbaiki, dan amat penting untuk kita selalu ada bekal maaf, kesabaran dan lapang dada dalam menempuh alam pernikahan yang matlamatnya membawa semua ke syurga ALLAH.
Jangan biarkan perasaan dan pemikiran kita hanyut dengan kelemahan dan kekurangan suami hingga kita berwajah muram dan menghilangkan senyuman di wajah.
Bukankah suami bernikah dengan kita kerana mengharap ketenangan dan kebahagiaan..?
Senyuman kita kan menghiburkan dirinya, meredakan kekusutan dan mengusir kepenatannya. Layanan kita yang penuh kesabaran dan kelembutan akan memberi semangat untuk suami menjadi teman hidup yang lebih baik. Kesabaran kita mendorongnya menjadi ayah yang lebih bertanggungjawab.
Ya, suami kita juga banyak kelemahan dan kekurangan, namun kita tegurlah seadanya..bukan memburukkannya. Kita perlu meluahkannya, jangan memendam rasa hingga kita meletup mengungkapkan segala keburukannya selepas berbulan-bulan atau bertahun memendamnya.
Ayuh bermula hari ini, kita senaraikan SEGALA dan SEMUA perkara baik yang dilakukan suami...lafazkan syukur pada Tuhan. Kesyukuran dibuktikan dengan kebaikan dan ketaatan. Moga kita benar-benar merasakan bahawa ALLAH telah menganugerahkan seseorang yang teramat baik untuk kita mengharungi kehidupan ini.
Serahkan atau sampaikan pada suami senarai panjang kebaikannya yang telah kita tulis, agar suami mengetahui betapa sebenarnya dia adalah penting dan bermakna dalam hidup kita dan anak-anak.
Moga dengan kebaikan suami yang kita cari, syukuri dan hargai – ALLAH akan menambah lebih banyak nikmat dalam rumahtangga kita dan memberkati pernikahan ini hingga kita merasa qana’ah sebagai seorang isteri. Ini adalah janji ALLAH di dalam Surah Ibrahim, ayat 7.
No comments:
Post a Comment